KUALA LUMPUR, 13 November - Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah disifatkan sebagai medan penting untuk menilai tahap kematangan politik serta hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, PRU DUN Sabah kali ini bukan sekadar proses demokrasi semata-mata, tetapi turut menjadi indikator sejauh mana kerjasama dua hala antara kerajaan pusat dan negeri dapat diteruskan demi manfaat rakyat.
“Hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini wajar dilihat sebagai satu bentuk kematangan dan kejayaan politik yang perlu dikekalkan,” kata beliau kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini hari ini.
Beliau berkata, meskipun senarai calon rasmi belum diumumkan, kebanyakan parti politik utama sudahpun menamakan calon masing-masing untuk bertanding pada PRU kali ini, sekali gus mencerminkan suasana politik Sabah yang aktif dan semakin matang.
Dalam pada itu, Dr. Mohammad Tawfik menegaskan, hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah bukan sekadar simbol politik, tetapi asas penting dalam menjamin kesinambungan pembangunan negeri, termasuk pelaksanaan pelbagai projek strategik.
Antaranya ialah peruntukan RM6.9 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi menyokong projek pembangunan di bawah Pan Borneo serta usaha merancakkan infrastruktur dan ekonomi negeri.
“Sabah bukan sekadar rakan strategik politik, tetapi sebahagian daripada kekuatan Malaysia secara keseluruhan. Hubungan yang baik ini menjadi cerminan kematangan dan kestabilan politik negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru pengundi Sabah agar menilai prestasi dan keupayaan calon berdasarkan pengalaman serta rekod perkhidmatan mereka, khususnya dalam konteks kerjasama antara parti seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Dr. Mohammad Tawfik turut menegaskan bahawa ketika pasca pilihan raya, semua pihak perlu kembali duduk semeja demi mencapai matlamat pembangunan bersama serta mengelak konflik politik lama yang pernah wujud antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan.