KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggesa premis taman asuhan kanak-kanak (taska) yang belum lagi mendaftar dengan kementerian itu untuk melakukan pendaftaran sebelum dikenakan tindakan undang-undang.
Perkara itu susulan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapati seorang bayi berusia dua bulan meninggal dunia di taska Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya pada Selasa lepas.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Aiman Athirah Sabu, siasatan awal Pegawai Diberi Kuasa (PDBK) JKM mendapati, taska berkenaan telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984, iaitu mengendalikan suatu taska tidak berdaftar.
"Jadi esok insya-Allah kita akan hantar pegawai JKM untuk mengunci dahulu taska tersebut daripada terus beroperasi.
"Sekiranya selepas 21 hari masih lagi pihak berkenaan tidak memberi komitmen untuk berdaftar dengan kita, maka tindakan lanjut akan diambil oleh pihak pendakwaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Jerayawara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) @ Advokasi Antigangguan Seksual Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Universiti Malaya di ibu negara.
(Datuk Aiman Athirah Sabu)