JERANTUT, 15 Oktober- Pelbagai perancangan akan dirangka dan dilaksanakan bagi memenuhi keperluan penduduk luar bandar menerusi peruntukan yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024.
Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, perkara itu dilihat memberi manfaat besar kepada pembangunan luar bandar.
Pelbagai inisiatif akan diteruskan KKDW dalam meningkatkan kesejahteraan dan pembangunan masyarakat kampung dan desa.
"Infrastruktur luar bandar seperti bekalan air, elektrik di samping pembaikan jalur lebar dan pembinaan jalan raya.
"Kita juga menerima peruntukan yang signifikan dalam pembinaan rumah-rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) pembinaan rumah baru dan baik pulih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Masuk Kampung 2023 di Kampung Gintong, di sini.
Peruntukan berjumlah RM11.55 bilion itu juga akan diuruskan sebaik mungkin dalam membantu meningkatkan pendapatan disamping membantu menyediakan kediaman kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.
Program anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu menjadi platform strategik antara kerajaan bersama komuniti luar bandar dalam memperjelaskan strategi, tindakan dan perancangan dalam membangunkan kampung serta komuniti luar bandar.
(Datuk Seri Ramlan Harun)