KUALA KURAU, 15 Oktober- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua buah bot bersama enam nelayan warga Myanmar pada kedudukan 6.37 dan 6.31 batu nautika selatan Kuala Kurau, Jumaat lepas.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohamad Najhan Azman Hamid menerusi kenyataan memaklumkan, "semasa melaksanakan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang, pihaknya mengesan dua buah bot di kawasan tersebut.
"Hasil Pemeriksaan mendapati, seramai tiga kru nelayan warga Myanmar termasuk tekong di dalam bot pertama dan tiga lagi di dalam bot kedua. Masing-masing berumur antara 22 hingga 35 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan itu.
Pemeriksaan terhadap dokumen pula mendapati, bot berkenaan memiliki lesen yang sah, namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya serta tiada kebenaran menggajikan pekerja warga asing.
Kesemua nelayan, bot serta peralatan menangkap ikan telah di bawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen.
(Bot nelayan warga Myanmar ditaham Maritim Malaysia)