fb fb fb fb fb

Tarif AS: Malaysia teliti sebelum adakan rundingan

Prof Dr Sufian Jusoh/ Foto RTM

BANGI, 7 April- Malaysia mengambil pendekatan untuk tidak terburu-buru dalam bertindak balas terhadap pelaksanaan tarif oleh Amerika Syarikat (AS).

Pengarah Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sufian Jusoh, berkata perkara itu perlu diteliti sebaik mungkin sebelum merangka langkah dan strategi sewajarnya sebelum mengadakan rundingan.

"Kita perlu meneliti dan melihat data, contohnya antara eksport terbanyak kita hantar ke AS adalah semikonduktor dan semikonduktor itu ada tidak yang dikenakan tarif sedangkan semikonduktor yang dimasukkan ke dalam produk yang dihantar ke AS akan kena tarif, jadi senarai kita perlu meneliti adalah panjang.

"Jadi saya rasa lama atau tidak, tidaklah selama mana, kita tidak boleh terburu-buru. Ada 12 perkara dibangkitkan AS, bukan sekadar tarif.

"Isu-isu ini perlu dilihat secara terperinci dan kita perlu bina satu strategi apakah yang kita akan jawab dengan Presiden Trump (Donald Trump), apa yang kita akan bawa ke meja rundingan.

"Jika kita ambil masa satu atau dua hari lagi dan selepas daripada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan ekonomi ASEAN mungkin kita dapat aturkan strategi yang lebih baik," katanya ketika ditemui pada program Bicara Persada Tarif Trump: Kesan dan Langkah Malaysia, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan ada kemungkinan satu jawatankuasa ASEAN yang dianggotai oleh negara-negara ASEAN akan diwujudkan bagi menangani isu tersebut.

Katanya, perkara itu akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi pada 10 April ini.

"Mereka akan membincangkan strategi jangka pendek dan jangka panjang untuk menghadapi permasalahan ini. Ia bukan sekadar isu dengan AS sahaja, tetapi melibatkan negara-negara lain juga.

"Ini kerana apabila tarif dinaikkan, ada kemungkinan mereka akan memberi tindak balas, dan tindakan itu mungkin akan memberi kesan kepada barangan dan perkhidmatan tertentu," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM