fb fb fb fb fb

Tarif AS: Hong Kong failkan aduan terhadap WTO

Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) di Geneva, Switzerland / Foto REUTERS

HONG KONG, 11 Februari-Hong Kong akan mengemukakan aduan kepada Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berhubung tarif terbaru yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara itu, dengan mendakwa AS telah mengabaikan sepenuhnya status Hong Kong sebagai wilayah kastam yang berasingan, kata Ketua Setiausaha Eric Chan pada Selasa.

"Ini jelas bercanggah dengan peraturan WTO. Mereka sama sekali tidak menghiraukan bahawa Hong Kong adalah wilayah kastam yang berasingan," kata Chan, pegawai nombor dua di bandar yang diperintah China itu, kepada wartawan.

"Kami akan mengemukakan aduan kepada WTO mengenai pengaturan yang tidak munasabah ini," tambahnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Chan memberikan respon terhadap keputusan AS untuk mengenakan tarif 10% ke atas barangan dari hab kewangan Asia itu, susulan langkah Presiden AS, Donald Trump, yang menyasarkan import dari China.

Minggu lalu, Perkhidmatan Pos AS menggantung semua kiriman masuk dan bungkusan dari China dan Hong Kong, tetapi kemudiannya membatalkan keputusan tersebut.

Langkah untuk menghentikan penerimaan bungkusan dari China dan Hong Kong telah menyebabkan kekeliruan dan kekacauan dalam kalangan peruncit serta syarikat penghantaran ekspres mengenai cara berurusan dengan tarif AS.

"Apa yang boleh saya katakan ialah dasar mereka berubah-ubah," kata Chan.

Langkah Trump turut merangkumi penutupan pengecualian duti "de minimis" bagi bungkusan bernilai di bawah $800, dengan alasan untuk menghentikan aliran masuk fentanyl dan bahan kimia prekursor ke Amerika Syarikat.

Hong Kong telah lama dikenali sebagai pusat perdagangan yang bebas dan terbuka, tetapi pelaksanaan undang-undang keselamatan negara yang ketat oleh China ke atas Hong Kong pada tahun 2020 telah mencetuskan kritikan dari AS.

Kesannya, AS menamatkan status khas Hong Kong di bawah undang-undang AS, yang seterusnya meningkatkan ketegangan antara China dan AS.

Susulan itu, AS menetapkan bahawa barangan yang dibuat di Hong Kong untuk dieksport ke AS perlu dilabel sebagai buatan China, sekali gus menamatkan salah satu kelebihan kompetitif utama Hong Kong sebagai hab perdagangan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD