PUTRAJAYA, 7 April- Ekonomi Malaysia berdaya tahan dan berupaya menampung impak tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerajaan akan terus memastikan akses pasaran tidak terjejas, selain usaha berterusan membawa masuk pelaburan asing.
"Walaupun lanskap ekonomi dunia sedang berhadapan dengan situasi sukar, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan daya tahan ekonomi Malaysia kuat, berupaya menampung gelombang ini untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
"Yang penting, kesemua sektor perniagaan dan rakyat Malaysia perlu bekerjasama dengan pendekatan senegara bagi menjamin kesejahteraan sosioekonomi kita," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia, hari ini.
Usaha itu merupakan langkah bagi meneruskan agenda reformasi ekonomi dan industri dalam menyokong rantaian bekalan.
Ia sekali gus membawa kepada kesejahteraan pekerja dan perniagaan di Malaysia.
Dalam pada itu, Perdana Menteri bakal mengadakan perbincangan bersama Ketua Negara ASEAN bagi membincangkan isu tarif.
Beberapa pendekatan proaktif, telah, sedang dan akan diambil berasaskan ‘whole of nation’.
"Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh kerajaan termasuklah pengaktifan semula Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri.
"Penubuhan pasukan petugas oleh MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) untuk mendapatkan maklum balas langsung daripada industri, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN," katanya.
Malaysia juga bakal mengadakan rundingan strategik secara langsung bersama AS serta usaha memperluas pasaran eksport Malaysia.
Ia merangkumi rantau-rantau serta blok ekonomi baharu dan tingkat penggunaan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dan baharu.