fb fb fb fb fb

Tarif AS: Malaysia sedang dapatkan penjelasan

Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 April- Malaysia sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan tarif yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perkara itu turut dibangkitkan dalam pertemuannya bersama Duta Besar AS, pagi tadi.

"Kerajaan menafikan dakwaan bahawa Malaysia telah mengenakan tarif 47 peratus ke atas import AS ke Malaysia. Malaysia langsung tidak bersetuju dengan asas pengiraan tarif ini dan sedang mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan tersebut.

"Saya juga baru sahaja selesai mesyuarat dengan Duta AS dan pasukan kedutaan, bersama-sama rakan saya. Kita telah cuba mendapatkan penjelasan mengenai pengiraan tersebut.

"Asas pengiraan yang kurang tepat ini telah mengakibatkan Malaysia dikenakan tarif timbal balas pada kadar 24 peratus," katanya pada sidang media mengenai kesan tarif AS.

Tambahnya, kerajaan kekal komited untuk mendapatkan resolusi adil yang memelihara akses pasaran, menarik pelaburan asing, dan menyokong kesejahteraan perniagaan dan pekerja tempatan.

Negara juga tidak akan bertindak balas dengan tindakan balas terhadap produk AS.

Mengenai defisit perdagangan dengan AS, jumlah itu turun dengan ketara kepada AS$25 bilion ketika ini, daripada lebih AS$45 bilion dolar pada 2021.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM