ISKANDAR PUTERI, 21 Oktober- Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencadangkan penubuhan pelan tindakan di peringkat negeri, bagi menjalankan tindakan bersepadu, menangani pencemaran sungai dengan lebih efektif.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, cadangan akan menggariskan tindakan yang perlu diambil agensi berkaitan, mengikut bidang kuasa masing-masing.
Beliau mengesyorkan pelan tersebut diselaraskan Jawatankuasa Tindakan Alam Sekitar Negeri, yang dipengerusikan Exco Alam Sekitar, merangkumi aspek pencegahan pencemaran dan pembersihan sungai.

"Kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri, sebahagian besar dalam proses tindakan, dimana untuk menangani pencemaran sungai ini, ia melibatkan pelbagai agensi sebab kalau kita lihat dari segi bidang kuasa atas punca–punca pencemaran itu berbeza", katanya semasa Sambutan Hari Alam Sekitar Kebangsaan 2023 di Iskandar Puteri.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pencemaran beberapa sungai dalam negara yang berada dalam kelas empat dan lima, hanya melibatkan kawasan hilir, manakala kawasan hulu sungai masih bersih, berada dalam kelas satu dan dua.
Antara sungai berada di kelas lima, yang direkodkan pada 2022, ialah Sungai Buluh, Johor, Sungai Chempedak, Pulau Pinang, dan Sungai Buloh, Selangor.