KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Penglibatan aktif ASEAN penting dalam menangani krisis Myanmar bagi mengelakkan konflik itu berlarutan dan menimbulkan kesan rentas sempadan termasuk jenayah rentas negara, aliran pelarian serta ketidakstabilan sosioekonomi yang lebih meluas.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, kepengerusian ASEAN pada masa akan datang perlu terus menunjukkan keazaman dan keteguhan berhubung perkara itu, selain mengekalkan semangat solidariti yang menjadi asas perpaduan rantau ini.
"Ia merupakan satu proses panjang yang mesti dipimpin oleh rakyat Myanmar sendiri dan disokong oleh ASEAN. Ia satu jalan yang berasaskan kepercayaan, bukan paksaan," ujarnya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini, hari ini.
Beliau pada masa sama turut menegaskan komitmen Malaysia yang akan terus memperjuangkan kepentingan bersama ASEAN, khususnya dalam memajukan Kod Tatalaku di Laut China Selatan.