POKOK SENA, 25 Oktober - Keperluan penduduk yang terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) adalah dijamin mencukupi.
Menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Kedah, ini termasuk bekalan makanan, minuman dan keperluan asas lain.
Pengarahnya, Zakaria Taib berkata bekalan makanan dihantar mengikut jadual iaitu empat kali iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.
Menurutnya, semua makanan dibekalkan oleh 64 pembekal yang dilantik JKM dan setiap makanan yang dibekalkan adalah berkhasiat.
"Pembekal berjaya membekalkan makanan kepada semua penduduk terjejas, dan setiap makanan yang disalurkan perlu mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
"Pembekal yang kita pilih ini sanggup melaksanakan tugas tersebut serta mempunyai bilangan pekerja dan jumlah makanan yang mencukupi, menunjukkan bahawa mereka merupakan pembekal yang besar dan berkemampuan," katanya.
Beliau ditemui media selepas menyampaikan bekalan makanan kepada penduduk yang terjejas banjir di PPS Pokok Sena.