KUCHING, 27 September - Isu buli dalam kalangan kanak-kanak perlu ditangani secara bersepadu melibatkan semua pihak berkaitan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, tindakan menyeluruh amat penting kerana kes membabitkan murid seawal usia lapan tahun sudah dikesan di sekolah rendah.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak merekodkan 86 kes buli melibatkan fizikal, lisan, bukan lisan dan siber.
Kuching dan Padawan mencatat kes tertinggi iaitu 28 kes masing-masing, diikuti Serian (14), Sri Aman (5) dan Baram (4). Bintulu pula merekodkan tiga kes, dua di Belaga manakala Sibu dan Bau masing-masing satu kes.
"Antara langkah yang digariskan ialah membangunkan dasar keselamatan kanak-kanak di semua institusi pendidikan serta memperluaskan penggunaan portal Integrated Social Issue Case Management System bagi pelaporan dan pengurusan kes buli," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Wacana Bestari: Isu Buli Dalam Kalangan Kanak-Kanak di Kuching, hari ini.