fb fb fb fb fb

Tanda harga tidak jelas, tujuh individu diberi amaran lisan

Operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasar Awam Banting

KUALA LANGAT, 29 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor mengeluarkan amaran lisan kepada tujuh peniaga di Pasar Awam Banting kerana meletakkan tanda harga tidak jelas.

Menurut Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, operasi berkenaan dilakukan ke atas 94 peniaga di pasar tersebut untuk meningkatkan undang-undang, memastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas serta menggunakan alat timbang yang sah dan ditentusahkan.

"Walaupun secara keseluruhan tahap pematuhan adalah baik, tujuh peniaga dikenakan tindakan amaran atas aspek penandaan harga. Untuk permulaan ini, KPDN hanya memberikan amaran lisan dan advokasi kepada mereka termasuk tunjuk cara pematuhan yang betul.

"Pemeriksaan semula akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terus dipatuhi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pasar Awam Banting di sini.

Operasi berkenaan mendapat kerjasama Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melibatkan seramai 35 anggota penguat kuasa daripada kedua-dua agensi.

Ia merupakan simbol kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan PBT dalam memastikan pematuhan undang-undang dan perlindungan pengguna di pasar awam.

Pemeriksaan dijalankan berdasarkan beberapa peruntukan undang-undang seperti Akta Kawalan Harga 2011, Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

Dalam pada itu, KPDN juga merancang untuk melancarkan dua program utama di pasar-pasar iaitu inisiatif Pasar Patuh, yang akan menekankan penandaan harga dan penggunaan alat timbang yang disahkan serta memastikan kebersihan persekitaran pasar.

Program perintis berkenaan dijangka dilaksanakan seawal bulan depan di beberapa lokasi terpilih di Selangor sebelum diperluas ke seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI