fb fb fb fb fb

Tanah runtuh di Paya Terubong, 12 kenderaan terjejas

Tanah runtuh di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah pasar raya di Paya Terubong, Pulau Pinang, hari ini

PAYA TERUBONG, 24 Oktober- Kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah pasar raya di Paya Terubong, Ayer Itam, Pulau Pinang, petang tadi.

Insiden berlaku susulan hujan lebat itu tidak melibatkan sebarang mangsa atau kerosakan struktur bangunan, namun menjejaskan beberapa kenderaan yang diletakkan di kawasan berkenaan.

Penguasa Kanan Bomba I Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, TS. Dr. Jamil Abdullah@Othman berkata, kejadian berskala sederhana di kawasan berhampiran Blok 41, Paya Terubong itu dipercayai berpunca daripada aliran air deras dari bukit berhampiran.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong yang tiba tujuh minit selepas panggilan kecemasan mendapati 12 kenderaan terlibat dengan enam daripadanya berjaya dialihkan oleh pemilik.

Seramai 10 anggota bomba dikerahkan ke lokasi bagi memberi khidmat nasihat dan membantu mengalihkan baki kenderaan ke kawasan lebih selamat, manakala kawasan runtuhan dipasang pita penghalang bagi mengelak orang ramai mendekati kawasan terbabit.

Operasi dikawal sepenuhnya pada 3.10 petang dan pemantauan lanjut sedang dijalankan, jelasnya.

"Kita menasihatkan semua penduduk terlibat supaya memindahkan kenderaan mereka ke lokasi yang lebih selamat dan sentiasa berwaspada sekiranya amaran pemindahan dikeluarkan," katanya ketika dihubungi RTM hari ini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA