fb fb fb fb fb

Malaysia perkasa literasi agama rentas budaya di peringkat ASEAN

Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir

GOMBAK, 24 Oktober - Penganjuran ASEAN Cross-Cultural Religious Literacy Forum yang julung kali diadakan merupakan langkah penting dalam merealisasikan aspirasi Visi Komuniti ASEAN 2045 ke arah membina komuniti serantau yang inklusif, dinamik dan berdaya tahan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, forum yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu
dilihat sebagai platform dalam membentuk kepimpinan beretika dan berjiwa besar dalam memupuk budaya damai serta persefahaman sejagat.

"Kita tidak harus sekadar bertolak ansur terhadap kepelbagaian, kita mesti meraikannya. Perayaan terhadap kepelbagaian ini bukanlah idealisme yang naif, tetapi satu pengiktirafan terhadap kemanusiaan.

"Ia mencerminkan keupayaan kita dalam memperoleh kekuatan daripada perbezaan dan kebijaksanaan melalui dialog," katanya ketika majlis perasmian forum berkenaan di Pusat Kebudayaan UIAM.

Forum itu merupakan kolaborasi antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Leimena Institute Indonesia, STRATSEA, dan Pusat Kajian Keamanan, Dialog dan Xenofobia (PEDIXS) UIAM.

Ia melibatkan penyertaan tokoh akademik, pemimpin masyarakat sivil dan wakil pelbagai agama dari seluruh negara ASEAN.

Forum itu juga sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menekankan nilai rahmah, ihsan dan amanah sebagai asas kepada pembangunan manusia dan masyarakat.

"Gagasan MADANI bukan sekadar slogan politik, tetapi satu visi peradaban yang mengharmonikan iman dan akal, spiritualiti dan kemodenan, serta kepelbagaian dan perpaduan. Nilai-nilai ini menjadi asas kepada literasi agama rentas budaya yang kita bincangkan hari ini," ujarnya.

Forum tersebut menampilkan dua sesi utama iaitu 'Strengthening an Inclusive and Cohesive ASEAN Community Through Cross-Cultural Religious Literacy' dan 'Perspectives and Experiences in Fostering a Culture of Respect for All in Multifaith, Multicultural Societies', melibatkan pakar dan pemikir dari pelbagai negara ASEAN termasuk Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Penganjuran forum itu sekali gus menyerlahkan kepimpinan Malaysia sebagai peneraju ASEAN dalam membina komuniti serantau yang berasaskan nilai keadilan, kasih sayang dan keamanan, seiring dengan matlamat membentuk rantau yang stabil, makmur dan bersatu padu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI