KUALA LUMPUR, 3 Februari- Satu kejadian tanah runtuh berlaku di Taman Bukit Pantai, Bangsar, sini, pagi tadi, namun tidak melibatkan sebarang mangsa.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 10.45 pagi.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mustafa Kama Mohd Arih, pemeriksaan awal mendapati runtuhan tanah berkemungkinan daripada kebocoran saliran air kolam renang unit rumah atas.
FOTO BOMBA
"Kerja-kerja mengosongkan sisa air kolam renang dilakukan oleh pasukan bomba bagi mengelakkan tanah semakin lembab dan berpontensi berlakunya pergerakan atau hakisan tanah.
"Tiada mangsa yang terperangkap dan (tiada) struktur rumah terlibat," menurut JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan.
Kes berkenaan diserahkan kepada Unit Cerun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan pihak kontraktor rumah untuk tindakan lanjut.
Operasi tersebut melibatkan seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Seputeh bersama jentera.