JOHOR BAHRU, 2 Februari - Polis Daerah Iskandar Puteri akan menggerakkan 101 pegawai dan anggota untuk mengawal lalu lintas serta mencegah jenayah semasa Tahun Baru Cina (TBC) menerusi Ops Selamat, bermula 8 hingga 13 Februari ini.
Operasi akan memberi tumpuan kepada kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), memandangkan dijangka akan berlaku peningkatan jumlah kenderaan dan aliran trafik.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, anggotanya juga akan bertugas 24 jam bagi membuat rondaan mencegah jenayah khususnya di Taman Bukit Indah, Taman Nusa Bestari dan Gelang Patah.
"Dan saya mengharapkan ada penduduk di sekitar Iskandar Puteri untuk melaporkan ketiadaan mereka kepada pihak polis sama ada melalui talian hotline Iskandar Puteri ataupun talian hotline IPK Johor ataupun datang ke balai sendiri untuk mengisi borang meninggalkan rumah dan kita akan membuat pengawasan ke rumah-rumah yang meninggalkan kosong sepanjang Ops Selamat ini," kata Rahmat kepada pemberitabselepas merasmikan Op Selamat dan Kempen Rumah Selamat IPD Iskandar Puteri di Pasaraya Aeon Bukit Indah, di sini.
Menurut Rahmat, aktiviti jenayah dalam kalangan warga tempatan adalah lebih tinggi berbanding warga asing, di Iskandar Puteri.
Sementara itu, pihaknya komited bekerjasama dengan Jabatan Imigresen (JIM) Johor sekiranya diperlukan khususnya melibatkan isu keselamatan dan ketenteraman di lokasi tumpuan warga asing.