fb fb fb fb fb

Tanah runtuh Batang Kali: Operasi SAR diteruskan

(Operasi SAR di di tapak perkhemahan Father's Organic Farm diteruskan)

BATANG KALI, 21 Disember- Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang memasuki hari keenam masih diteruskan.

Setakat ini, operasi tersebut menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dianggarkan berusia lingkungan lima hingga tujuh tahun pada 11.15 malam tadi.

Ini menjadikan angka korban tragedi berkenaan kini 25 orang.


(Lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya)

Dalam pada itu, anggota penyelamat juga terus bersemangat dan tidak berputus asa dalam menjalankan tugas pencarian, meskipun terdapat tiga pegawai dan anggota yang menerima rawatan selepas kurang sihat dan mengalami kecederaan ringan.

Malah Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Hafisham Mohd Noor berkata ada antara anggota penyelamat yang enggan keluar dari lokasi pencarian bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang, walaupun dibenarkan untuk berehat.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lalu di tapak perkhemahan tersebut, setakat ini menyaksikan 61 orang selamat, 25 orang terkorban dan lapan lagi mangsa masih hilang daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat.

Satu sidang media dijangkakan akan diadakan pada 10.00 pagi bagi memberikan info terkini operasi menyelamat dan mencari di tapak tragedi insiden tanah runtuh di Batang Kali.

Media Baharu