fb fb fb fb fb

Tambang feri ke Langkawi naik antara RM3 hingga RM10.50

FOTO BERNAMA

ALOR SETAR, 15 Disember - Berkuatkuasa 1 Januari 2025, kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah dinaikkan antara RM3 hingga RM10.50 sehala mengikut kategori penumpang dan laluan perjalanan.

Pengurus Operasi Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Norhafiz Abdul Wahid memaklumkan bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi, kadar kenaikan RM3 iaitu daripada RM21 ketika ini kepada RM24 bagi dewasa warganegara dan daripada RM16 kepada RM19 bagi kanak-kanak warganegara.

"Kenaikan RM3.50 pula dikenakan bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi iaitu daripada RM26.50 kepada RM30 bagi dewasa warganegara dan RM20.50 kepada RM24 bagi kanak-kanak warganegara.

"Kadar tambang bagi bukan warganegara untuk laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi pula dinaikkan RM8 bagi dewasa iaitu daripada RM27 kepada RM35 dan RM19.50 kepada RM25 bagi kanak-kanak," katanya dalam kenyataan.

Bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi, kadar tambang bagi dewasa bukan warganegara dinaikan RM10.50 iaitu daripada RM34.50 kepada RM45 dan daripada RM25.50 kepada RM32 bagi kanak-kanak bukan warganegara.

Beliau berkata kadar tambang bagi penduduk Langkawi pula masing-masing dinaikkan sebanyak RM3 dan RM3.50 bagi kedua-dua laluan berkenaan untuk dewasa dan kanak-kanak.

"Tambang penduduk Langkawi bagi perjalanan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dinaikkan kepada RM18 untuk dewasa dan kepada RM13 untuk kanak-kanak, manakala bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi pula kadar baharu adalah RM23.50 bagi dewasa dan RM17.50 bagi kanak-kanak," katanya.

Norhafiz berkata tiada kenaikan tambang kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang masing-masing kekal pada kadar RM13 dan RM17 serta RM10 dan RM14 bagi kedua-dua laluan itu.

Beliau berkata kadar tambang perkhidmatan feri syarikat itu sepatutnya telah dinaikkan pada 5 Ogos 2022 iaitu RM6 bagi laluan Langkawi-Kuala Perlis-Langkawi dan RM7 bagi laluan Langkawi-Kuala Kedah-Langkawi.

Namun beliau berkata kenaikan tersebut dikurangkan 50 peratus ketika itu atas faktor pemulihan pasca COVID-19.

TETITIA YUSOFF