BALING, 15 Disember-Kira-kira 200 pelajar kurang berkemampuan dan anak-anak asnaf serta 40 anak-anak orang asli Ulu Legong di Daerah Baling, Kedah menerima sumbangan kelengkapan persekolahan.
Ia bersempena Program Kembali ke Sekolah 2025 peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Siong, Baling.
Sumbangan disampaikan oleh Pengarah Wilayah Utara Etiqa, Hazli Mohamed Kassim dan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Abdullah.
Setiap pelajar menerima dua set uniform sekolah, beg sekolah, sejadah dan dua pasang kasut beserta stokin sebagai persediaan untuk menghadapi sesi persekolahan 2025.
Menurut Zawahir, program ‘Kembali Ke Sekolah 2025’ bertujuan untuk meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah bagi menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak mereka.
Melalui program berkenaan, sebanyak lapan siri jelajah diadakan menyaksikan Kedah merupakan lokasi ketiga selepas Selangor dan Pahang.
Program akan diteruskan ke Perak, Johor, Kelantan, Sarawak serta Sabah bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Program ini memberi manfaat kepada 1,600 orang pelajar peringkat sekolah rendah dalam persediaan untuk memasuki sesi persekolahan 2025.