KUALA LUMPUR, 6 Februari- Ekonomi berasaskan pelaburan dilihat sebagai salah satu langkah mampan dan lestari bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk jangka sederhana dan panjang.
Penganalisa Korporat dan Perniagaan Mohamad Faisal Abdul Malik berkata, ke arah itu negara perlu lebih fokus dan konsisten dalam usaha menambah baik segala aspek yang diperlukan bagi menggalakkan pelaburan.
Perkara itu termasuk pelaburan teknologi hijau bersumberkan inovasi dan lestari serta melibatkan penyelidikan dan pembangunan.
"Semak imbang kembali inisiatif bagi insentif kepada sektor-sektor swasta di dalam dan luar negara untuk mereka yang pertama kali melabur dan yang ingin kembangkan perniagaan. Contohnya cukai mudah urus proses, regulasi, dan sebagainya," katanya kepada RTM.
Selain itu, tadbir urus lebih cekap serta pengurangan karenah birokrasi juga perlu diberi perhatian untuk memudahkan urusan perniagaan.
Perluasan sumber pendapatan baharu juga boleh merangkumi pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan meneruskan pelaksanaan cukai makmur kepada syarikat yang meraih keuntungan luar biasa.
Bank Dunia sebelum ini menyarankan agar Malaysia mencari sumber pendapatan baharu bagi memantapkan kedudukan fiskal dan pendapatan negara.
(Mohamad Faisal Abdul Malik)