fb fb fb fb fb

Tamat lawatan kerja di Malaysia, PM Singapura berlepas pulang

Lawrence Wong dan isteri bersama isteri Loo Tze Lui berlepas pulang ke Singapura

SEPANG, 12 Jun- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berlepas pulang ke Singapura selepas selesai lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula semalam.

Penerbangan Singapore Airline SQ125 yang membawa beliau dan delegasi berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tepat pukul 8.40 malam tadi.

Mengiringi kepulangan beliau ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin dan Ketua Protokol Kementerian Luar, Datuk Mohd Aini Atan.

Manakala penghormatan turut diberikan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di bawah pimpinan Kapten Mohd Shahrin Mohd Yusuf.

Terdahulu menerusi pertemuan bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya, kedua-dua pemimpin komited menangani isu-isu dua hala yang tertunggak dan berterusan.

Ia termasuk zon ekonomi Malaysia-Singapura, pelaburan, perjanjian air, ruang udara, pendidikan dan sempadan maritim.

Turut ditekankan adalah komitmen bersama dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang bakal dianjurkan Malaysia hujung tahun ini.

Mengakhiri lawatan, beliau turut menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusuf yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bagi bertukar pandangan mengenai hubungan serantau dan antarabangsa.

Ini adalah lawatan sulung beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keempat Singapura pada 15 Mei lalu.

Pada 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE