fb fb fb fb fb

Penghasilan karya kreatif, kerajaan akan terus berikan kerjasama - Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika menyampaikan ucapan tahniah ke atas filem Sheriff selepas selesai menonton Tayangan Khas Filem Sheriff: Narko Integriti di Putrajaya

PUTRAJAYA, 12 Jun - Kerajaan akan terus memberi kerjasama kepada penghasilan karya-karya kreatif demi menyemarak dan menyuburkan indistri perfileman negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penggiat seni perlu diberi peluang untuk bebas menghasilkan karya yang tidak bersifat propaganda. 

Sambil menzahirkan rasa kagum, bangga dan terkesan dengan filem Sheriff Narko Integriti yang ditonton beliau malam ini, Anwar berkata filem itu sarat dengan mesej mendalam mengenai peranan agensi penguatkuasa dalam negara dan pada masa sama, memuji penerbitan filem Melayu yang semakin maju serta kreatif.

"Cerita ini papar kelemahan dalam suatu pasukan tapi juga ada kekuatannya dalam Malaysia (penguatkuasa) iaitu tidak kurang orang yang sangat mempertahan integriti serta menolak kecurangan seperti gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

"Saya sangat terkesan dan saya sangat bangga dengan seluruh keluarga yang menghasilkan filem Sheriff yang sangat bermutu," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menonton tayangan khas filem itu, di sini.

Terdahulu, Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Wan Azizah, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meluangkan masa kira-kira dua jam setengah menonton filem itu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN