fb fb fb fb fb

Talian Kasih 15999 terima lebih 50,000 panggilan setakat September

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Talian Kasih 15999, saluran sokongan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), telah menerima lebih 50,000 panggilan setakat September lalu, dengan majoriti daripadanya berkaitan isu kebajikan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tertinggi panggilan melibatkan pertanyaan mengenai status bantuan kebajikan, termasuk permohonan baharu, proses kelulusan serta bantuan khas kepada golongan memerlukan seperti Orang Kurang Upaya (OKU).

1210 NANCY KES ROGOL PELAJARDatuk Seri Nancy Shukri/RTM

“Ramai yang masih memerlukan maklumat lanjut mengenai bantuan yang disediakan kerajaan. Soalan lazim termasuk bagaimana untuk memohon, bila permohonan diluluskan dan jenis bantuan yang layak diterima,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Kempen Awak Okey Tak? bersempena acara Kasih Fun Run di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini hari ini.

Selain pertanyaan berkaitan kebajikan, panggilan yang diterima juga melibatkan kes pengabaian warga emas, keganasan rumah tangga serta isu sosial lain yang memerlukan campur tangan segera.

Kempen Awak Okey Tak? bertujuan memupuk kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan sikap saling mengambil berat, khususnya dalam kalangan keluarga dan komuniti.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN