KOTA BHARU, 9 Jun- Tahap perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia berada pada tahap baik dengan Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) menunjukkan peningkatan setiap tahun.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berkata ia menunjukkan keberkesaan pelbagai program yang telah dilaksanakan kementerian tersebut.
Pihaknya bagaimanapun menyasarkan bacaan IPNas akan meningkat kepada 0.7 pada tahun ini berbanding 0.629 pada tahun 2022.
Jelas Azman, pelbagai pendekatan diambil termasuk menjalankan kerjasama dengan pelbagai kaum supaya konsep setiap agama difahami dan menerapkan rasa hormat terhadap kepercayaan masing-masing.
"Apa yang kita lakukan adalah kita mula memberikan strategi-strategi yang baik di peringkat KRT (Kawasan Rukun Tetangga) itu sendiri supaya mereka melakukan hebahan pendekatan lebih baik di peringkat komuniti.
"Malah, di peringkat itu sendiri kita dah mula nak perkenalkan, kita dah perkenalkan Mediator Komuniti ini tapi kita nak memperkukuhkan lagi," katanya pada sidang media di majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu, di sini.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya turut menyediakan sistem e-Sepakat bagi mengesan dan memantau sebarang aduan berkait isu perpaduan di negara ini.
Jelasnya, sebanyak 47 isu berkait 3R (agama,bangsa dan institusi raja) dikesan menerusi sistem tersebut pada suku pertama tahun ini, namun semuanya berada dalam keadaan terkawal.