fb fb fb fb fb

Tahap perpaduan negara sederhana, skor IPNAS 2025 meningkat

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 16 Disember - Tahap perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini berada pada paras sederhana berdasarkan Indeks Perpaduan Nasional (IPNAS) 2025 dengan skor 0.629, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami, berkata skor berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding 0.567 pada tahun 2018, sekali gus menggambarkan tahap perpaduan negara berada dalam keadaan memuaskan dan terkawal.

Beliau menjelaskan, kesepaduan sosial dijadikan komponen asas IPNAS yang merangkumi empat indikator utama.

“Pertama, tahap keetnikan, iaitu kecenderungan keterikatan terhadap identiti dan jati diri kumpulan etnik masing-masing. Kedua, hubungan sosial rentas etnik, iaitu tahap interaksi dan hubungan sosial yang berlaku merentasi etnik.

“Ketiga, itos bangsa dan jati diri kebangsaan, iaitu keterikatan emosi, nilai bersama serta sejarah sosial yang dikongsi. Keempat, tadbir urus dan pembangunan, iaitu pelaksanaan proses pentadbiran dan pembangunan negara oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurut beliau, hasil dapatan IPNAS turut mendapati aspek tadbir urus dan pembangunan dikenal pasti sebagai faktor paling signifikan dalam meningkatkan tahap perpaduan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menegaskan inisiatif oleh semua kementerian dan agensi kerajaan perlu dipergiat bagi menambah baik skor IPNAS pada masa akan datang.

Saraswathy menjawab soalan Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berhubung usaha menggubal IPNAS sebagai kayu ukur pencapaian program perpaduan, termasuk aspek yang menunjukkan pencapaian positif serta elemen lain yang memerlukan perhatian lanjut.

1612 PAR KPN INDEKS PERPADUANTimbalan Menteri Perpaduan, Saraswathy Kandasami

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE