KUALA SELANGOR, 29 Julai - Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di negeri itu masih terkawal hasil kecekapan pasukan polis dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Meskipun kepadatan penduduk yang tinggi dikenal pasti antara faktor peningkatan kes jenayah di beberapa daerah di Selangor termasuk Kajang, Gombak dan Klang namun ia menuntut perhatian serius dalam aspek keselamatan awam dan pengurusan sosial.
"Data ini memang aktif namun begitu kita kena perhatikan faktor-faktor dan langkah-langkah susulan untuk mengatasi perkara ini.
"Kepadatan penduduk dilihat sebagai salah satu faktor yang mungkin menyebabkan permasalahan ini susulan ia meliputi pelbagai kelompok manusia.
"Tetapi saya mengucapkan terima kasih kepada anggota polis yang mampu memastikan keamaan dan mengawal kejadian jenayah khususnya di Selangor," katanya selepas merasmikan Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform Piala Dauk Menteri Besar Selangor yang berlangsung di Universiti Selangor (UNISEL), Bestari Jaya, di sini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bual bicara sebuah stesen berita swasta bersama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan Kajang, Gombak dan Klang merupakan tiga daerah tertinggi mencatatkan kes jenayah dalam kalangan 16 daerah di negeri itu.