JAKARTA, 29 Julai - Malaysia berpandangan tidak perlu menghantar pasukan pemantau gencatan senjata sepenuhnya yang dipersetujui Kemboja dan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara sudah menyatakan komitmen untuk menghormati perkara yang disepakati dalam mesyuarat khas di Malaysia.
Negara-negara ASEAN akan terus membantu bagi memastikan pelaksanaan yang telah dipersetujui kedua-dua pihak itu dipatuhi.
"Tetapi atase pertahanan semua negara-negara ASEAN diminta untuk memantau perkara tersebut. Beberapa negara telah bersetuju untuk mengirim pasukan pengaman sekiranya atau seandainya difikirkan perlu.
"Setakat ini saya tidak fikir begitu kerana kesediaan kedua-dua negara ini mencari penyelesaian yang baik," katanya.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama-sama media Malaysia pada akhir lawatan kerja beliau ke Indonesia di Sekretariat ASEAN, di sini.
Perkembangan di sempadan Thailand dan Kemboja, antara isu yang turut dibincangkan dalam Rundingan Tahunan ke-13 Malaysia- Indonesia.
Isu antarabangsa lain yang turut disentuh termasuk Gaza, tarif Amerika Syarikat dan kerjasama menangani konflik di Myanmar.