fb fb fb fb fb

Tahanan etnik Rohingya lolos pernah bekerja di Malaysia, mahir selok- belok kawasan

ALOR SETAR, 28 April- Operasi mengesan baki 61 tahanan Rohingya yang masih lolos dari Depoh Tahanan Sementara Imigresen Relau, termasuk dua dalang yang mencetuskan rusuhan masih diteruskan.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata polis percaya kesemua tahanan terbabit mempunyai arah tuju memandangkan 50 daripada jumlah yang belum dijumpai itu pernah bekerja dan tahu selok belok keadaan di negara ini.

Katanya 50 daripada mereka telah berada di negara ini antara dua hingga tiga tahun membolehkan mereka tahu untuk mengelak diri daripada dikesan polis.

"50 orang ini lah yang membantu pihak yang saya nyatakan empat elemen atau empat orang yangg menjadi 'master mind' tadi ..sebab itu mereka lari bersama-sama perempuan dan kanak kanak sebagainya supaya nampak senang mereka bolos dikepong sebagai perisai mereka. Kita akan buru sebaik mungkin kita tak 'stand down'. PGA dikecilkan musim raya ni tetapi lepas raya ini kita adakan balik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Noor bersama warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Alor Setar.


(MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima
sambil diiringi Wan Hassan (tengah) pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Kedah
bersama warga PDRM di Dataran Kawad IPK Kedah, Alor Setar)

Polis percaya kesemua tahananan terbabit kini berada di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang berikutan banyak tangkapan dari daerah itu sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya hampir 90 peratus kawasan Bandar Baharu termasuk kawasan hutan telah digeledah dan pihaknya percaya tahanan telah bergerak ke kawasan lain.

Operasi pengesanan diteruskan oleh polis IPK Bandar baharu , IPD Seberang Perai Selatan dan cawangan khas.

Siasatan juga masih dilakukan terhadap dua daripada empat dalang yang ditahan dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk pertuduhan jika ada keperluan.

Orang ramai dinasihatkan menyalurkan maklumat segera jika mengetahui terdapatnya tahanan terbabit.

Dalam kejadian Rabu lepas, 528 tahanan Rohingya bertindak melarikan diri dari depoh terbabit.

Media Baharu