fb fb fb fb fb

Taburan hujan luar biasa di Johor

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Taburan hujan yang sangat luar biasa di Johor dari 28 Februari hingga 3 Mac iaitu sebanyak 548 milimeter (mm) telah melebihi purata bulanan negeri itu iaitu 195 mm sebulan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia sekali gus menyebabkan kenaikan paras air mendadak selain memaksa pintu empangan dibuka bagi melepaskan air.

Beliau memaklumkannya ketika menggulung usul tergempar mengenai banjir yang dibawa wakil Kluang di Dewan Rakyat.

Jelas Nik Nazmi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melepaskan air empangan mengikut SOP yang telah ditetapkan dengan mengambil kira ramalan hujan lebat oleh MET Malaysia.

"Saya bagi contoh misalnya di kebanyakkan negeri, sekiranya musim Monsun Timur Laut berlaku, maka air empangan akan diberikan maksimum hingga 80 peratus daripada kapasiti empangan tersebut.

"Sekiranya lepas...mereka terpaksa melepaskan empangan, kerana ia kena seimbang antara tujuan bekalan air dan juga tujuan untuk mencegah banjir," katanya.

(Nik Nazmi Nik Ahmad)

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat 15 projek tebatan banjir di Johor dengan kos RM1.49 bilion melibatkan projek bahru dan sambungan.

Malah tiada projek yang terlewat dan mengikut jadual yang ditetapkan.

Bagaimanapun hanya isu yang berbangkit seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu berkaitan proses perolehan.

Stok tambahan DSKB penuhi keperluan di Johor

Sementara itu, berhubung isu bekalan makanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mengakui banjir luar biasa telah menyebabkan pembukaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) secara serentak.

Walaupun menjejaskan proses agihan dan operasi, namun pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berupaya menggerakkan stok tambahan dari Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) dan Depoh Mini dari beberapa negeri pada 2 Mac untuk memenuhi keperluan penduduk terjejas di Johor.

"Ini kerana jurang masa antara bencana banjir yang terbaharu dan yang berlaku pada awal tahun ini terjadi dalam tempoh yang amat singkat. Sebilangan besar bekalan di depoh tersebut telah digunakan semasa kejadian banjir di Johor, kurang dua bulan lalu.

"Oleh itu urusan penambahan semula bekalan di depoh ini belum sempat disempurnakan sepenuhnya, mengambil kira keperluan kita memenuhi prosedur dan tatacara perolehan kerajaan seperti tender terbuka yang kebiasaannya mengambil masa yang panjang," katanya.

(Datuk Seri Nancy Shukri)

Pada masa yang sama kementerian turut mengaktifkan perolehan darurat bekalan tambahan pada 3 Mac dan diagih secara berperingkat.

Berhubung cadangan memberi kebenaran memasak seperti bergotong-royong di PPS, Nancy menjelaskan pihaknya amat menggalakan aktiviti berkenaan.

Namun ada sesetengah PPS yang tidak sanggup melakukannya atas faktor keberadaan mereka yang sudah terjejas akibat banjir.

Mengenai aduan kualiti dan kuantiti makanan yang sudah dibungkus pula, kementerian ambil maklum dan sudah memberi teguran kepada pembekal.

Media Baharu