fb fb fb fb fb

Tabung Musa'adah Jakim salur lebih RM1.58 juta untuk banjir Baling

BALING, 6 Julai- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah menyalurkan peruntukan lebih RM1.58 juta kepada mangsa banjir di sini yang terjejas ekoran bencana yang berlaku pada petang Isnin lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata peruntukan dari Tabung Musa'adah yang dikendalikan Jakim itu antaranya merangkumi bantuan 'one off' RM1,000 kepada setiap isi rumah.

"Setiap ketua isi rumah akan mendapat RM1,000 dan kami menasihati kepada semua ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir walaupun mereka tak berpindah ke pusat pemindahan mereka perlu membuat laporan polis sebagai bukti untuk mereka layak memperoleh bantuan daripada Tabung Musa'adah.

"Kami juga telah menyampaikan sumbangan segera RM70,000 kepada Sekolah Menengah Agama Yayasan Al-Khairiah, di sini yang berada di pinggir sungai,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai di sini hari ini.

Katanya selain itu peruntukan terbabit turut merangkumi baik pulih dan membeli kelengkapan serta perabot untuk tiga rumah mangsa banjir.

Menurut beliau, kesemua bantuan itu merupakan bantuan segera yang disalurkan untuk membantu mangsa banjir dan akan meneliti semula jika ada keperluan untuk menyalurkan bantuan lain.

"Kami tahu bahawa bantuan yang berbentuk kecemasan ini kebiasaannya diuruskan oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan juga beberapa kementerian terbabit yang berkaitan kerosakan, pembinaan rumah dan sebagainya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
Datuk Ahmad Marzuk Shaary bertanya khabar mangsa banjir selepas majlis penyampaian
sumbangan sebanyak RM1.58 juta melalui peruntukan (Jakim)
di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang, hari ini / FOTO BERNAMA

"(Bantuan) ini sebagai komplemen daripada Tabung Musa'adah daripada pihak agensi agama, sebagaimana biasa kami meletakkan tema bila ada musibah Tabung Musa'adah kena sampaikan," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Marzuk turut menasihatkan penduduk di daerah ini yang mendiami kawasan berhampiran sungai untuk sentiasa berwaspada dan bersedia untuk mengelak risiko jika bencana itu berlaku lagi. -BERNAMA

Media Baharu