fb fb fb fb fb

Tabung khas Palestin akan dilancar esok

KUALA LUMPUR, 12 Oktober- Tabung khas untuk Palestin akan dilancarkan esok bagi membantu umat Islam di negara bergolak itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar berkata kutipan tabung tersebut akan dilancarkan selepas solat Jumaat di semua masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Kita akan lancarkan kutipan tabung Palestin. Yang ini akan bermula di masjid-masjid di bawah JAKIM iaitu Masjid Putra, Masjid Negara dan juga Masjid Besi.

"Manakala semua masjid-masjid di bawah JAWI dan MAIWP di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan akan buat serentak untuk kutipan di masjid-masjid.

"Kutipan ini bukan sahaja dibuat pada Jumaat esok, tetapi berterusan pada Jumaat akan datang sehingga saya buat pengumuman berhenti," kata Mohd Naim kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Ulang Tahun ke-40 Universiti Islam Antarabangsa di sini.

Tambahnya, memandangkan ada pihak yang mengambil kesempatan mewujudkan tabung bantuan, beliau menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dalam memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin dan memilih saluran yang dipercayai.

Jelas beliau lagi, agensi dibawahnya turut digalakkan untuk membuat kutipan tabung palestin bagi membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui kedutaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipercayai.

Beliau berkata, sebanyak RM1 juta hasil daripada kutipan orang awam telah diserahkan menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dikendalikan Kementerian Luar Negeri pagi tadi di Parlimen.


(Jelas beliau lagi, agensi dibawahnya turut digalakkan untuk membuat kutipan tabung palestin
bagi membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin melalui
kedutaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dipercayai.)

Media Baharu