Syiling emas TMM 2026, lambang kerjasama strategik kerajaan-swasta

Foto RTM

KUALA LUMPUR 14 Januari Pelancaran syiling emas edisi khas Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 mencerminkan komitmen kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta dalam menyokong kempen pelancongan negara, sekali gus memberi limpahan manfaat kepada ekonomi nasional dan komuniti setempat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran syiling emas TMM 2026 menunjukkan kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta menyokong kempen pelancongan negara.
  • Sokongan syarikat seperti SMS Deen dihargai sebagai inisiatif swasta yang selari dengan aspirasi nasional, bukan semata-mata keuntungan.
  • Syiling emas berfungsi sebagai cenderamata eksklusif dan nilai tambah pengalaman pelancong untuk dibawa pulang sebagai kenangan Malaysia.
  • Rekaan kad syiling memaparkan makanan, kesenian dan infrastruktur untuk memperkenalkan identiti Malaysia kepada pelancong.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, berkata inisiatif yang dilaksanakan bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu merupakan contoh kerjasama yang selari dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan kejayaan TMM 2026.

Menurut beliau, usaha pihak swasta seperti Kedai Emas SMS Deen wajar dihargai kerana mengambil inisiatif sendiri untuk menyokong agenda nasional, bukan semata-mata berteraskan kepentingan perniagaan.

“Kerjasama antara Tourism Malaysia dan MOTAC ini amat penting bagi memastikan matlamat Tahun Melawat Malaysia 2026 tercapai. Impaknya bukan sahaja kepada ekonomi negara, malah turut memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya dalam Majlis Pelancaran Syiling Emas Edisi Khas TMM 2026, di ibu negara.

Beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta agar mencontohi langkah SMS Deen Jewellery dalam memperkenalkan produk kreatif berunsur pelancongan, sambil mengucapkan tahniah atas pelancaran syiling emas edisi khas tersebut.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan syiling emas berkenaan sebagai satu nilai tambah kepada pengalaman pelancong, khususnya sebagai barangan koleksi dan cenderamata eksklusif untuk dibawa pulang ke negara asal.

“Kita sendiri apabila melancong ke luar negara, pasti mencari cenderamata khas. Syiling emas ini boleh menjadi salah satu pilihan istimewa untuk pelancong membawa pulang kenangan dari Malaysia,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen, Mohamad Shaifudeen Mohamed Sirajudeen berkata pihaknya berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif kempen TMM 2026.

Menurut beliau, penglibatan sektor swasta dalam kempen kebangsaan adalah satu tanggungjawab bersama demi kepentingan negara.

“Bagi kami, peranan syarikat swasta bukan sekadar menjalankan perniagaan, tetapi turut menyumbang kepada negara. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab kami,” katanya.

Keunikan syiling emas itu turut diserlahkan melalui rekaan kad yang memaparkan penceritaan berkaitan makanan, kesenian dan infrastruktur negara, sebagai medium memperkenalkan identiti Malaysia kepada pelancong.