fb fb fb fb fb

Syazrin teruja kawal AGITO sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67

Tangkap layar TikTok Mohd Syazrin Zainal

PUTRAJAYA, 31 Ogos- Pergerakan sebuah kamera robotik 'berjalan' di sekitar pentas utama dan antara kontinjen perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan hari ini menarik perhatian mereka yang melihatnya. 

Robot berwarna hitam itu ialah kamera robotik model G1 Shotover AGITO (AGITO) untuk memastikan paparan visual sambutan Hari Kebangsaan di kaca televisyen tahun ini lebih segar bagi kepuasan mereka yang tidak berpeluang hadir ke Dataran Putrajaya.

Penyelaras Teknikal Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 Mohd Amzar Nasarudin berkata AGITO yang menggabungkan dua komponen iaitu G1 Shotover (gimbal) dan AGITO (robotik) membolehkan produksi memperolehi visual yang sukar atau tidak boleh diperoleh sebelum ini.

"AGITO bergerak bebas menerusi alat kawalan jauh dikendalikan jurukamera profesional dari Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan bebas untuk bergerak kerana tiada kabel terpasang, selain mempunyai jarak capaian dalam lingkungan 300 meter. 

"Jadi, ia boleh mencelah di mana-mana termasuk dalam perarakan. Satu lagi kelebihan ialah kameranya boleh diturun dan ditinggikan dengan cepat iaitu dari serendah menghampiri paras tanah atau dinaikkan hingga hampir 10 kaki yang mungkin sukar atau satu limitasi kepada jurukamera," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Amzar berkata AGITO yang mempunyai had kelajuan 80km/jam boleh beroperasi hingga lima jam pada mod kelajuan biasa dan untuk sambutan tahun ini, ia digunakan bagi mendapatkan visual menarik perarakan di sekitar Pentas Diraja.

AGITO difahamkan satu-satunya model yang terdapat di Asia Tenggara dan membuat kemunculan sulung liputan secara langsung sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Malaysia.

Sementara itu, jurukamera RTM Mohd Syazrin Zainal, 38, selaku Operator 1 AGITO pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 mengakui teruja, namun dalam masa sama gemuruh untuk mengendalikan robot berkenaan buat pertama kali terutama dalam sebuah acara penting negara. 

"Kawalan AGITO agak susah dan semasa mengendalinya, kita perlu tahu visual apa yang hendak diambil. Kita juga perlu berkomunikasi dengan rakan-rakan jurukamera sepanjang masa dan jari pula perlu cekap mengendalikan alat kawalan jauh.

"Minda juga perlu tangkas dan sentiasa berjaga-jaga kerana kita sentiasa menerima arahan. Ini semua memerlukan latihan untuk membiasakan diri," katanya yang perlu mengikuti latihan intensif selama sebulan bagi tujuan itu.

Penggunaan AGITO, katanya memudahkan proses mendapatkan visual menarik yang sebelum ini terbatas disebabkan peraturan atau protokol kedudukan jurukamera yang perlu dipatuhi sepanjang majlis berlangsung.- BERNAMA 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI