PUTRAJAYA, 14 Disember- Setelah lapan tahun menanti akhirnya Surau Ibnu Sina Hospital Putrajaya di sini mula dibangunkan menggunakan kutipan dana wakaf tunai bernilai hampir RM6 juta.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata tempoh pembinaan mengambil masa selama 18 bulan bermula Disember ini dan dijangka siap menjelang 2025.
Menurutnya, pembinaan surau dua tingkat itu tidak hanya memberi manfaat kepada pesakit di hospital berkenaan sahaja, malah boleh dikongsi bersama pelawat dari Institut Kanser Negara yang terletak bersebelahan hospital tersebut.
"Insya-Allah kita sama- sama doakan semoga hasrat murni khususnya seluruh warga kerja Hospital Putrajaya untuk melihat satu surau dan semoga dengan terbinanya nanti surau ini atas berkat semua pihak kita semua akan dapat manfaat khususnya kepada pengunjung dan pelawat yang datang menziarahi pesakit di Hospital Putrajaya mahupun di IKN," katanya pada Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Surau Ibnu Sina Hospital Putrajaya di Lot 3, Presint 7, di sini, hari ini.
Beliau berkata, tapak surau tersebut merupakan pajakan sebahagian tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan ( PTP ) kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Katanya, pembinaan surau tersebut di atas tanah berkeluasan 3,856 meter persegi yang boleh memuatkan sehingga 1,000 jemaah.
Dalam pada itu, Mohd Na'im berharap lebih ramai umat Islam dan syarikat korporat dapat berwakaf dengan MAIWP untuk manfaat ekonomi Islam.