fb fb fb fb fb

Surau al-Firdaus Putrajaya siap, diserah secara rasmi

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 29 Mei- Surau Al-Firdaus di Presint 11F, Putrajaya akhirnya siap sepenuhnya dan telah diserahkan secara rasmi dalam satu majlis penyerahan kunci selepas penantian selama sembilan tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, kelewatan itu adalah susulan proses penambahbaikan teknikal untuk memenuhi keperluan kapasiti menampung jemaah yang lebih ramai serta benar-benar memenuhi kehendak penduduk setempat.

"Pelan asal pembinaan surau ni asalnya satu tingkat sahaja yang kapasitinya 1,000 jemaah tetapi apabila kita lihat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melihat kepada kapasiti yang bertambah di Presint 11F.

"Jadi ada keperluan utk surau ini diperbesar dan kapasiti asal surai ini daripada 710 kaki persegi. Ia meningkat kepada 1,710 kaki persegi jadi lebih daripada sekali ganda. Sudah tentu apabila berlaku peningkatan disitu, ia juga menjadi punca sebab proses untuk menyiapkannya agak panjang sedikit," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Serahan Kunci Surau Al-Firdaus Presint 11F di sini.

Susulan penambahbaikan tersebut kos keseluruhan projek juga meningkat daripada RM1.4 juta kepada hampir RM6.8 juta namun ia adalah pelaburan yang berbaloi demi manfaat jangka panjang. 

Surau berkapasiti 2,200 jemaah itu dijangka memulakan solat jemaah pertama pada 1 Jun, sekali gus menjadi mercu tanda baharu bagi umat Islam di kawasan tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI