fb fb fb fb fb

Peniaga ditahan, kutip caj tapak tanpa kebenaran MBAS

Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melakukan operasi pemeriksaan lesen dan pematuhan syarat lesen

ALOR SETAR, 29 Mei- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menahan seorang peniaga yang didapati melakukan kutipan caj tapak kepada para peniaga di kawasan Kubang Rotan tanpa kebenaran MBAS.

Peniaga terbabit ditahan dalam operasi pemeriksaan lesen dan pematuhan syarat lesen penjaja oleh MBAS di kawasan Kubang Rotan di sini.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, semua penjaja dan peniaga-peniaga kecil disaran agar tidak memberikan sebarang bayaran kepada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat kutipan tapak tanpa kebenaran. 

"Para penjaja dan peniaga-peniaga kecil juga dinasihatkan untuk membuat semakan terlebih dahulu bersama pihak MBAS sebelum membuat sebarang pembayaran ke mana-mana pihak.

"Dalam operasi tersebut, pihaknya telah mengeluarkan notis ke atas sebilangan penjaja yang tidak mematuhi syarat lesen," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun MBAS akan terus mempertingkatkan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI