fb fb fb fb fb

Pelan baharu pemacu ke-12, seimbangkan pembangunan wilayah

Nik Nazree Abdul Rahman

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Pelan tindakan baharu menerusi Pemacu ke-12: Pengukuhan Pembangunan Sabah dan Sarawak ke Arah Keseimbangan Wilayah bawah Pelan Transformasi Bumiputera 2035 (PuTERA35) akan dibangunkan mengikut keperluan dan kepentingan ekonomi di kedua-dua negeri itu.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Strategik, TERAJU Nik Nazree Abdul Rahman berkata, ia ke arah memastikan agenda pembangunan Bumiputera dapat dinikmati secara menyeluruh di seluruh negara.

"Kita beri penakanan kepada keperluan asas dalam pembangunan usaha-usaha bumiputera seperti ketersambungan, seperti pembangunan infrastruktur, seperti akses pasaran dan sebagainya.

"Jadi konteks ini adalah lebih unik dan alhamdulillah baru-baru ini kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak telahpun mengumumkan bahawa mereka ingin membangunkan pelan tersendiri berpaksikan Putera 35 yang beri penekanan kepada konteks wilayah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media di sini.

PuTERA35 dilancarkan pada 19 Ogos 2024 menggariskan kerangka tindakan holistik bagi memperkukuh ekonomi Bumiputera untuk tempoh sedekad.

Ia disokong tiga teras utama iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi serta Menegakkan Keadilan Sosial.

Tiga teras berkenaan disokong 12 pemacu dalam menangani isu dan cabaran bumiputera.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI