fb fb fb fb fb

Semangat berpasukan faktor kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Fadillah Yusof

PUTRAJAYA, 29 Mei- Kecekapan, dedikasi dan semangat kerja berpasukan, faktor utama kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata, komitmen luar biasa daripada semua pihak khususnya jentera kerajaan menjadikan segala urusan berjalan lancar.

Perkara itu meliputi sikap rakyat yang memahami keperluan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak berprestij itu.

"Saya lihat di semua peringkat itu...kerja. Anak-anak kita, penjawat awam, semuanya hebat. Dari lapangan terbang, perbarisan, polis, Imigresen, MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd), pengurusan di hotelnya, Kementerian Luar yang menyelaraskan, (hingga) Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan protokol.

"Saya pun pening dengan protokol, tetapi saya hormat apabila pegawai protokol beri arahan kepada Perdana Menteri. Saya ikut semua aturan. Sebab kita negara yang ada peraturan dan bekerja sebagai pasukan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bulan Mei 2025 yang berlangsung di Puspanitapuri, di sini.

Perhimpunan berkenaan turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berakhir pada 27 Mei selepas beberapa siri pertemuan peringkat tinggi bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan perkongsian strategik.

Sepanjang dua hari, pemimpin ASEAN menyertai beberapa mesyuarat penting termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama, dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menyentuh mengenai kerjasama pemimpin negara ASEAN dalam membuat keputusan kolektif tanpa menjejaskan kepentingan negara masing-masing.

"Kemudian kita kena putuskan tentang persefahaman dalam menghadapi tarif Presiden Trump (Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump). Setiap negara ada strategi masing-masing melibatkan hubungan dua hala.

"Tetapi kita juga nak pertahankan kepentingan lebih 650 juta populasi negara ASEAN dan jangan ada satu keputusan dibuat oleh Malaysia merugikan negara lain, atau yang dibuat oleh Vietnam (sebagai contoh) merugikan negara lain. Kita kerja sebagai pasukan.

"Ia tidak mudah. Ada negara yang lebih dekat dengan A merika. Ada negara bebas dengan kita, dengan China pun rapat, dengan Rusia, dengan Amerika pun rapat. Memeningkan, tetapi setelah berbeda begitu pandangan...tercapai juga keputusan bersama, strategi bersama untuk menjaga kepentingan bersama ASEAN," katanya lagi.

Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025; menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, dengan tema "Keterangkuman dan Kemampanan."

Kepengerusian ASEAN 2025 merupakan kali kelima negara memegang jawatan pengerusi selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI