fb fb fb fb fb

Sunway komited sediakan 2 juta bungkusan makanan bagi komuniti yang memerlukan menjelang 2024

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Kumpulan Sunway komited untuk menyediakan 2 juta bungkusan makanan, khusus diberikan kepada komuniti yang memerlukan dan yang kurang mendapat bekalan makanan berkhasiat di seluruh negara, menjelang ulang tahun ke-50 Sunway pada 2024.

Sunway dalam kenyataan semalam berkata ini juga sebagai mengesahkan komitmennya terhadap Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-SDG), khususnya Matlamat 2: Sifar Kelaparan menjelang 2030, melalui program utamanya #SunwayforGood Food Aid.

Antara program bantuan makanan itu termasuk Sunway Meal Pack-a-thon dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Rise Against Hunger dan Sunway Food Bank yang berpangkalan di AS.

Menurutnya kumpulan itu memulakan siri Meal Pack-a-thon di seluruh negara dengan kerjasama Rise Against Hunger Selasa lepas di Sunway Pyramid, menerusi penyediaan 60,000 hidangan yang dibungkus oleh hampir 200 sukarelawan petugas Sunway.

Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata Sunway memandang serius isu sekuriti makanan dan komited untuk menyokong komuniti yang memerlukan, di samping yakin bahawa tiada syarikat boleh hidup berasingan daripada komuniti tempat ia berkhidmat.

Selain itu untuk pek meal pack-a-thon di seluruh negara tahun ini, Sunway menyasarkan untuk membungkus 270,000 hidangan dengan bantuan lebih 650 sukarelawan Sunway seluruh kumpulannya, dan sukarelawan pelajar dari pelbagai institusi pendidikan Sunway di seluruh negara.

Menurut kenyataan itu pack-a-thon 2022 akan berlangsung di Sunway City Iskandar Puteri, Sunway Penang, Sunway City Ipoh dan Sunway Velocity sepanjang bulan Ogos dan September.

Semua 270,000 hidangan ini akan disalurkan kepada 4,500 penerima daripada komuniti Orang Asli yang sukar mendapat akses perkhidmatan, rumah anak yatim, rumah warga emas, pelarian di seluruh Malaysia, selain menghulurkan bantuan makanan kepada golongan miskin tegar di Sri Lanka yang dilanda krisis ekonomi ketika ini.

Sementara itu menurut kenyataan berkenaan, inisiatif Sunway untuk menangani isu sekuriti makanan dan memerangi kelaparan bagi komuniti yang kurang bernasib baik itu mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai memiliki inisiatif bank makanan terbesar oleh mana-mana konglomerat di Malaysia.

"Sehingga kini hampir 190,000 kilogram makanan telah dibungkus dan diedarkan kepada kira-kira 70,000 penerima di seluruh negara bersama rakan kongsi utama jangka panjang. Sunway Food Bank adalah respons utama kumpulan ini untuk menangani sekuriti makanan negara melalui pendekatan serampang dua mata," menurut kenyataan itu.

(Foto fail)

Selain daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di bawah payung utama kumpulan itu #SunwayforGood, kumpulan itu berkata ia juga menangani isu sekuriti makanan melalui pertanian organik dan bandar, yang menyaksikan 20 ekar tanah di Sunway City Ipoh digunakan semula untuk pembangunan Sunway Organic Farm.

Ia bertujuan menghasilkan sekurang-kurangnya 150,000 kilogram buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa racun perosak menjelang 2030 melalui pertanian organik, manakala Sunway XFarms akan melancarkan ladang menegak dalaman bandar terbesar di pusat bandar Kuala Lumpur yang dijangka dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 13,000 kg sayur percuma sebulan untuk penduduk bandar raya Kuala Lumpur. -BERNAMA

Media Baharu