fb fb fb fb fb

Sungai Timun bakal jadi hab pengeluaran udang galah menjelang 2026

Program Sopit Biru Sungai Timun 2024 di Jeti Pengkalan Sungai Timun, Rembau hari ini.

REMBAU, 25 Mei- Kerajaan Negeri Sembilan bercadang untuk menjadikan kawasan sepanjang Sungai Timun sebagai lokasi pembiakan udang galah di negeri ini menjelang tahun 2026.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, Jabatan Perikanan diminta untuk mengambil tindakan proaktif dalam memastikan lambakan benih udang galah selain memberi pendedahan awal berkaitan sektor itu terhadap penternak udang galah.

Jelas beliau dengan gerakan mewujudkan hab berkenaan ia dapat meningkatkan taraf ekonomi penternak dan masyarakat di kawasan setempat.

"Tidak mustahil di sepanjang laluan atau aliran laluan sepanjang Sungai Timun boleh dijadikan sebagai hab pengeluaran udang galah liar yang boleh diperoleh pada bila-bila masa. Apatah lagi waktu tuaian udang galah yang akan dikunjungi masyarakat. Seawal 2026 kita boleh isytihar kawasan ini sebagai hab pengeluaran sumber perikanan bernilai tinggi ," katanya.

Jalaludin berkata demikian ketika ditemui selepas melepaskan benih udang galah sempena Program Sopit Biru Sungai Timun 2024 di Jeti Pengkalan Sungai Timun di sini, hari ini.

Acara itu yang mendapat penyertaan dari 120 orang peserta merupakan acara tahunan selepas julung kali diadakan, pada tahun lepas.

ZEHRA BINTI ZAMBRI