fb fb fb fb fb

Sumbangan Tunai Rahmah fasa dua dikreditkan mulai 5 April

(FOTO FAIL/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 3 April- Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa dua akan dikreditkan ke akaun bank penerima berdaftar secara berperingkat mulai Rabu ini (5 April).

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, pembayaran tersebut melibatkan implikasi kewangan RM1.26 bilion yang akan disalurkan kepada 8.7 juta penerima golongan B40.

Menurut kenyataan itu, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran tersebut pada tarikh yang sama.

"Pembayaran Fasa 3 dan Fasa 4 akan dilaksanakan pada Julai dan November ini, mengambil kira permohonan baharu serta yang dikemas kini." menurut kenyataan berkenaan.

Sehingga 31 Mac lalu, sebanyak 714,918 permohonan baharu dan 2,618,104 permohonan diterima.

Kesemua permohonan akan melalui proses verifikasi sebelum diluluskan mengikut kategori kelayakan STR.


(Pegawai LHDN Negeri Sembilan membantu orang ramai mengemas kini maklumat peribadi
untuk pembayaran 
Sumbangan Tunai Rahmah (STR) fasa kedua/Foto fail BERNAMA)

“Semakan status pembayaran boleh dibuat mulai pada tarikh sama dan penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 5 April.

“Dengan pembayaran ini, sejumlah RM2.93 bilion peruntukan STR dibayar kepada golongan B40 pada tahun 2023,” menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut berkenaan pembayaran, pemohon boleh merujuk Soalan Lazim di Portal Rasmi STR.

Media Baharu