Sultan Pahang santuni anak yatim beli persiapan Aidilfitri bersama Yayasan Keluarga Malaysia

Foto Facebook Kesultanan Pahang

KUANTAN, 1 Mac -Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan meluangkan masa bersama anak-anak yatim bagi membeli persiapan sempena Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sultan Pahang meluangkan masa bersama anak-anak yatim membeli persiapan Aidilfitri.
  • Keberangkatan baginda ditemani Tengku Mahkota dan Tengku Panglima Raja.
  • Anak-anak di bawah Yayasan Keluarga Malaysia dibantu memilih busana hari raya.
  • Setiap anak menerima RM300 untuk keperluan Aidilfitri, penerima menyatakan rasa syukur.

Keberangkatan baginda diiringi anakanda Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyantuni anak-anak bawah naungan Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) itu ketika memilih busana hari raya kesukaan mereka.

Setiap anak yatim yang berada bawah jagaan YKM selepas kehilangan ibu atau bapa mereka akibat COVID-19 menerima RM300 bagi membeli pelbagai barangan keperluan hari raya.

Sementara itu, penerima meluahkan rasa syukur apabila menerima bantuan kira-kira RM300 seorang yang disalurkan itu.

“Alhamdulillah, hari ini mereka memberi kira-kira RM300 seorang. Jadi, alhamdulillah, ia sangat membantu. Saya sebagai ibu tunggal amat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan ini.

“Ia sangat meringankan beban saya. Alhamdulillah, terima kasih kepada Yayasan Keluarga Malaysia, kerana meringankan beban dengan menyalurkan bantuan kepada anak kami,” kata Nazarina Salleh.