fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin zahir teguran isu permainkan agama dan kaum dalam politik

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda ke-68 di Istana Iskandariah hari ini/Foto Bernama

KUALA KANGSAR, 9 November - Isu agama dan kaum yang terus dijadikan sebagai alat mainan politik perlu segera dibendung.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini kerana sekiranya isu berkenaan tidak ditangani secara tuntas ia akan mengancam perpaduan dan keharmonian rakyat di negara ini.

"Apabila agama dan kaum dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan, dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif semakin digemakan.

"Retorik dan slogan sedemikian, laksana bara yang semakin menyalakan puntung, menyalakan unggun, jika tidak segera dibendung, akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara," titah Sultan Nazrin.

Tambah baginda, isu agama dan kaum yang terus dicetuskan juga dibimbangi akan menyemai prasangka dan curiga dalam kalangan rakyat dan kelihatan semakin hilang arah untuk menemui titik penyatuan.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Istana Iskandariah, di sini.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menzahirkan teguran dalam kalangan mereka yang tanpa segan silu mempersendakan institusi raja.

Baginda bertitah, raja pemerintah berperanan menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang dibina melalui amalan budaya penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa, lalu dijadikan asas untuk membangunkan negara bangsa.

"Bahawa Raja Pemerintah yang bertakhta ialah simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu, berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat islam dan orang Melayu.

"Namun Raja Pemerintah juga perlu memberikan naungan saksama kepada warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa yang telah bermastautin di bumi ini," titah Baginda.

Ujar baginda, kebelakangan ini perbuatan mahu mengetepikan adab dan memijak adat semakin dipelopori dalam kalangan buta huruf terhadap sejarah negara, cetek tentang tamadun bangsa dan berminda budaya pelarian serta tidak ada akar budaya.

Justeru itu, rakyat perlu disedarkan supaya menolak perbuatan pencerobohan budaya serta tingkah dan laku yang melanggar sempadan adab dan adat, tidak boleh dibenarkan menjadi warga yang turut tidak bertamadun, miskin adab atau papa adat.

TETITIA YUSOFF