IPOH, 29 Oktober- Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sunway Medical Centre Ipoh, hospital bertaraf dunia bernilai lebih RM430 juta di Sunway City Ipoh.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berangkat mengiringi baginda ke majlis berkenaan yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan kepimpinan negeri.
Menurut Datuk Seri Saarani, pembukaan hospital kelima di bawah Sunway Healthcare Group itu menandakan pencapaian penting dalam pembangunan sektor kesihatan negeri.
Beliau menjelaskan, pelaburan strategik tersebut membuktikan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Perak sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama negara.
Hospital berkenaan menawarkan kemudahan bertaraf dunia, termasuk pusat rawatan kanser dan perubatan nuklear tercanggih serta sistem pembedahan robotik pertama di Perak.
Kemudahan lain meliputi 259 katil berlesen dan lebih 37 kepakaran perubatan, dengan tumpuan kepada rawatan khusus untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak.
Hospital itu turut menjadi simbol kemajuan teknologi perubatan moden, sekali gus memperkukuh kedudukan Ipoh sebagai hab kesihatan utama di wilayah utara.
Perkembangan berkenaan selari dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang menekankan kesejahteraan rakyat sebagai ukuran sebenar kemajuan negeri.