fb fb fb fb fb

ASEAN 2025 : Kejayaan Kepengerusian Malaysia mencerminkan keupayaan negara dalam diplomasi serantau

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim/ PMO

KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Kejayaan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, bukan sahaja mencerminkan keupayaan Malaysia dalam diplomasi serantau, malah memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai rantau yang lebih kukuh, inklusif dan berdaya tahan.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kejayaan tersebut merupakan hasil kerja keras seluruh petugas kerajaan, agensi-agensi terlibat serta sokongan padu daripada rakyat Malaysia dalam memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak tersebut.

"Di dalam kejayaan-kejayaan ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menegaskan semalam, bahawa ia tidak akan berhasil tanpa jasa, bakti dan keringat kesemua petugas yang menjalankan amanah sebaiknya.

"Dari agensi-agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, sukarelawan dan petugas media, ribuan terima kasih diucapkan atas komitmen dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran penganjuran sidang kemuncak ini.

“Terima kasih atas dukungan dan kesabaran mereka sepanjang proses diplomasi ini berlangsung,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Sidang Kemuncak kali ini telah mengukir sejarah tersendiri dan membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan."

Tunku Nashrul memaklumkan, sidang kali ini merupakan perhimpunan pemimpin terbesar dan berprofil tinggi ASEAN setakat ini, dengan kehadiran semua pemimpin ASEAN, sembilan rakan dialog serta empat tetamu pengerusi.

Beliau berkata sebanyak 14 sidang kemuncak telah diadakan dari 26 hingga 28 Oktober dan sebanyak 80 dokumen hasil yang telah diterima dan diluluskan.

Ini termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia, selain hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3, Sidang Asia Timur (EAS), Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). 

"Antara pencapaian bersejarah ialah penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN selepas memohon sejak tahun 2011. Penerimaan ini menggariskan prinsip keterangkuman dan semangat perkongsian kemakmuran yang lama diperjuangkan oleh Malaysia," katanya.

Tambah beliau, satu lagi pencapaian penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) antara Thailand dan Kemboja, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

"Perjanjian ini menggambarkan peranan aktif Malaysia dalam memudah cara pertikaian serantau secara aman dan konstruktif.

"Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Amerika Syarikat atas peranannya dalam memudahkan dialog tersebut," jelas beliau.

Dari sudut ekonomi, sidang kemuncak kali ini turut memuktamadkan dua inisiatif perdagangan yang sangat bermakna, iaitu penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN–China (ACFTA 3.0).

Langkah ini bakal menawarkan akses pasaran lebih luas, prosedur lebih cekap dan membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu dalam sektor digital dan hijau, memberi manfaat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serantau.

Dalam aspek keselamatan dan kemanusiaan, ASEAN menegaskan semula komitmen terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai rujukan utama dalam menangani krisis Myanmar, termasuk gesaan untuk pemberhentian keganasan dan peningkatan bantuan kemanusiaan.

Selain itu, isu-isu penting lain seperti Laut China Selatan, Palestin, keselamatan makanan, penipuan dalam talian dan peralihan tenaga turut menjadi fokus utama sidang kali ini.

Malaysia terus menyuarakan pendirian tegas dalam mempertahankan keamanan dan keadilan serantau.

Dalam pada itu, Tunku Nashrul turut memaklumkan, Malaysia memberikan sokongan penuh kepada Filipina, yang akan mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun 2026, dengan harapan semangat kerjasama dan perpaduan yang disemai di Kuala Lumpur akan terus subur di rantau ini.

"Perdana Menteri akan menghadiri sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen esok sebelum meneruskan Lawatan Kerja ke Gyeongju, Republik Korea, bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang akan berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November," katanya.

Lawatan ini memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk menekankan kepentingan keterangkuman dalam pengukuhan rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan pembangunan mampan, selain mengetengahkan dasar nasional dalam transformasi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Lawatan tersebut juga akan membuka peluang pertemuan dengan pemain industri utama Republik Korea bagi memperkukuh hubungan perniagaan dan pelaburan dua hala.

“Semoga usaha berterusan ini sama ada di pentas ASEAN mahupun APEC terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berprinsip, progresif dan komited memperjuangkan keadilan, kemakmuran serta keamanan serantau demi masa depan negara yang kita cintai,” katanya. 

ROSLINA BINTI DIN