KUALA LUMPUR, 29 Oktober - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, diberi mandat untuk mengetuai pasukan petugas khas bagi memastikan kepentingan komuniti Melayu di Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru terus terpelihara.
Beliau berkata pasukan khas itu akan berperanan sebagai penyelaras utama dalam rundingan antara pemaju, agensi kerajaan serta wakil komuniti tempatan, bagi mencapai penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk semua pihak.
Menurut Dr Zaliha masih ramai ahli Parlimen khususnya bagi pihak pembangkang, tidak dapat membezakan di antara Kampung Baru dan Kampung Sungai Baru walaupun sudah beberapa kali dijelaskan.
"Walaupun Kampung Sungai Baru itu adalah sebahagian daripada Kampung Baru dan statusnya berbeza, seperti yang telah saya nyatakan Kampung Sungai Baru itu bukanlah tanah MAS (Malay Agricultural Settlement) dan tidak pernah juga diwartakan sebagai rizab Melayu", katanya.
Tambah beliau, kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk meningkatkan kadar pemilikan Bumiputera di Kampung Sungai Baru melalui empat intervensi utama iaitu pertama, penglibatan aktif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti UDA Holdings Berhad dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dalam pembangunan semula kawasan Melayu strategik.
Kedua, penetapan rumah ganti hanya untuk orang Melayu bagi memastikan kesinambungan sosiobudaya di kawasan bersejarah seperti Kampung Baru dan Sungai Baru.
Ketiga, diversitikasi komponen pembangunan termasuk unit kondominium, SOHO (pejabat rumah kecil), rumah kedai dan pejabat mampu milik Melayu bagi menambah kapasiti pemilikan warga bandar Melayu.
Intervensi keempat ialah pemantauan pematuhan kuota Bumiputera atau Melayu di kawasan itu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di bawah mekanisme laporan suku tahunan.
Beliau menjelaskan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai cadangan pelantikan Ahli Majlis di Kuala Lumpur, Dr Zaliha berkata perkara itu akan diteliti melalui penubuhan pasukan petugas untuk mengkaji keperluan pindaan undang-undang, namun pilihan raya kerajaan tempatan tidak menjadi keutamaan kerajaan buat masa ini.
Jelasnya, Majlis Menteri Wilayah dan mesyuarat konsultasi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Wilayah, akan diadakan setiap tiga bulan sebagai platform rasmi membincangkan dasar dan isu warga kota.
Dr Zaliha berkata kerajaan juga memperkukuh Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) dengan kenaikan elaun serta peningkatan geran zon kepada RM60,000 dan RM25,000 untuk subzon bagi memperluas program setempat.