fb fb fb fb fb

Sultan Kedah menyeru rakyat hayati semangat hijrah

ALOR SETAR, 2 Ogos- Umat Islam di negara ini khususnya di Kedah diseru menghayati semangat hijrah dan menterjemahkan secara syumul dalam menjalani kehidupan berkeluarga ataupun secara individu.

Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin al marhum Sultan Badlishah bertitah seluruh umat Islam agar sentiasa berusaha membina keluarga yang bahagia dan penyayang, mengikut lunas-lunas ajaran dan panduan yang telah digariskan agama Islam.

Baginda bertitah, keluarga yang penyayang dan harmoni, berkait rapat dengan keredhaan serta keberkatan daripada Allah swt.

Tuanku Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menasihatkan para suami yang menjadi ketua keluarga,sentiasa berusaha mencari rezeki untuk anak-anak dan isteri serta memastikan rezeki berkenaan diperolehi daripada sumber yang halal.


(Baginda bertitah secara maya pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah
1444 hijrah Peringkat Negeri Kedah di sini)

Titah baginda lagi, sekiranya rezeki diperolehi dari sumber yang tidak halal, maka ia akan merosakkan jiwa anak-anak yang seterusnya memberi kesan negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak.

"Beta juga menyarankan agar sesiapa yang bergelar suami, yang menjadi ketua keluarga, mestilah berusaha sedaya upaya mencari rezeki yang halal, untuk anak-anak dan isteri. Setiap makanan dan minuman, yang diberikan kepada anak-anak dan isteri, akan menjadi darah daging.

"Jika makanan itu diperolehi daripada sumber yang tidak halal, sama ada makanan tersebut sendiri yang tidak halal, atau di beli dengan cara yang tidak halal, maka ia akan merosakkan jiwa anak-anak, dan mewarnai kotoran dalam hati isteri.

"Ia juga akan memberi kesan yang negatif kepada pembentukan akhlak anak-anak nanti," titah baginda secara maya pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maal Hijrah 1444 hijrah Peringkat Negeri Kedah di Alor Setar.

Sementara itu, Pengasas Ismail Group Langkawi, Allahyarham Ismail Ahmad dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah 2022 bersamaan 1444 Hijrah pada tahun ini.

Anugerah disampaikan Exco Kerajaan Negeri, Dato Romani Wan Salin kepada isteri Allahyarham, Yah Othman, 77 tahun, bagi mewakili Allahyarham, beliau menerima wang tunai RM15,000 hadiah iringan serta sijil penghargaan.


(Isteri Allahyarham, Yah Othman menerima anugerah bagi suaminya
Allahyarham Ismail Ahmad merupakan Pengasas Ismail Group Langkawi) 



Menurut Pengarah Urusan Ismail Group iaitu anak kepada Allahyarham, beliau syukur dengan anugerah yang diberikan kepada ayahnya.

"Dengan segala puji bagi allah teah menganugerahkan ayah saya sebagai tokoh maal hijrah, alhamdulillah syukur. semoga dia menjadi inspirasi untuk kami sekeluarga untuk meneruskan lagi perniagaan Haji Ismail Group," katanya.

Dalam pada itu, Masjid Terbaik Kategori Bandar dianugerahkan kepada Masjid Al- Halimi Bandar Baharu. Manakala, Masjid Al- Busra, Sungai Petani dianugerahkan sebagai Masjid Terbaik bagi Kategori Luar Bandar.

Kedua - dua johan anugerah tersebut menerima wang tunai RM20,000,hadiah iringan serta sijil penghargaan.

Media Baharu