fb fb fb fb fb

Sultan Kedah berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan sempena Ulang Tahun Keputeraan

Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan memberi tabik hormat ketika memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-83 di Dataran Medan Bandar/ BERNAMA

ALOR SETAR, 22 Jun- Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Kehormatan Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-83, hari ini yang berlangsung di Dataran Medan Bandar, Alor Setar.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff.

Berangkat sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta Tengku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tunku Puan Mahkota Kedah, Che Puan Nur Julie Ariff.
 
Selain itu, turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Seri Norizan Khazali serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
 
Kawalan kehormatan utama terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama panji-panji rejimen yang diketuai Mejar Muhammad Nasrullah Abdullah.
 
Manakala, pembawa Panji-Panji adalah Leftenan Muda Muhammad Alif Izzudin Nasirudin dan Sarjan Mejar Rejimen Panji-panji adalah Pegawai Waran 1 Hermi Bakry.
 
Kawalan kehormatan utama diiringi pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dibawah pimpinan Kapten Muhamad Fauzee Japar dan dibantu oleh Pegawai Waran 2 Aliff Farhan Hashim.
 
Sementara itu, pada tahun ini juga diadakan acara terbang lintas hormat oleh dua buah pesawat EC 120B dari INSPEN 2 dan 5 pesawat PC-7 MK2 dari INSPEN 1.
 
Kawalan kehormatan turut diiringi dengan 21 das tembakan meriam oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), dipimpin oleh Mejar Hafizan Md Ghani dari 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat), Kem Sungai Buluh, Selangor.

ROSLINA BINTI DIN