fb fb fb fb fb

Sultan Johor mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262

Sultan Johor (tiga, kiri) berkenan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262/BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 25 Oktober- Sultan Johor, Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara hari ini.

Kali terakhir mesyuarat itu diadakan adalah pada 22 dan 23 Februari lalu yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan memberi tabik hormat ke atas Kawalan Kehormatan Utama (KKU) daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja di Dataran Utama.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menanam Pokok Mentega atau nama saintifiknya Diospyrus Blancoi di perkarangan Istana Negara sebagai simbolik baginda mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ini.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah juga turut berkenan menyempurnakan upacara penanaman pokok itu.

Turut berangkat ke mesyuarat yang berlangsung dua hari bermula hari ini Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, Perlis diwakili Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Pada mesyuarat itu, Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang Dipertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri dan Speaker DUN Sarawak diiringi Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Raja-Raja Melayu turut dijadual berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara Jumaat ini, bagi urusan memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.

ROSLINA BINTI DIN